BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

ISTERI & ANAK BONGSUKU

ISTERI & ANAK BONGSUKU
Yang nampak baju hijau bersongkok tu sayalah

Coretan Kesedaran Untuk Cerminan Diri Sendiri

My photo
Dari Rengit ke Sungai Petani, Menetap di Ulu Tiram bersama isteri dan 4 anak, Malaysia
Pengacara Majlis, Trainer Pengacara Majlis, Pengurusan Acara, Pengucapan Awam, Team Building, Kepimpinan, Penyeliaan, Motivasi Diri dan Kumpulan dan Perunding Program Tunas Bistari, Didik Bistari dan Siswa Bistari anjuran JCORP

27 September, 2009

Dah Balik Tiram Semula

Saya dan keluarga bergerak ke utara pada hari Jumaat, 2 hari sebelum raya. Kami bergerak jam 6.30 petang ke Rengit dulu. Berbuka dalam kereta je. Sampai Rengit jam 8 malam. Kemudian pada jam 12.30 malam kami memulakan perjalanan ke Sg Petani. Jam 4 pagi kami sampai di R&R Dengkil dan bersahur di sana. Pada jam 5 pagi kami meneruskan perjalanan dan berhenti di Restoren jejantas Sg Buloh untuk solat Subuh dan mandi. Pada jam 7 pagi kami meneruskan perjalanan. Tidak lama lepas tu, Lebuhraya Utara Selatan mulai sesak dengan kenderaan menghala ke utara. Di Behrang, kami mulai merasai nikmat 'jem' di lebuhraya. Sampai di Sungkai, kami keluar melalui jalan lama. mulanya jalan elok tapi di Bidor, jalan jem lagi. Kami masuk semula ke lebuhraya. Kami terpaksa menempoh kesesakan lagi. Selepas terowong, kami berehat di 'vista point. Tak tahan kerana mengantuk. Lepas tu kami teruskan perjalanan. Kesesakan berterusan hinggalah di Tol Juru. Lepas tu jalan mulai lega sikit tapi kenderaan tetap banyak. Akhirnya kami selamat sampai di Sungai petani jam 4.30 petang. Begitulah ringkasan cerita balik kampung kami. Memang 'thrill'.
Hari raya pertama, saya bangun awal sebelum masuk waktu Subuh. Kejutkan budak-budak suruh bangun dan bersiap untuk Solat di Masjid Penghulu Hem, Sungai Layar. Khutbah yang disampaikan sangat menarik. Kalau BN dengar mesti menangis....isu utama adalah mengenai pendidikan anak-anak. Lepas solat, melawat kubur bersebelahan masjid. Di sinilah disemadikan ibu dan bapa mertua saya, Allahyarham Haji Ahmad Bin Said, meninggal pada hujung 2004 dan Allahyarham Hajah Seha Binti Bab, meninggal pada awal 1992.
Lepas tu, balik ke rumah. Di rumah kami makan-makan dan lepas tu bermaafan. Lepas tu, membahagikan duit raya untuk anak-anak saudara.
Lepas tu, kami ke rumah Mak Saudara isteri ku, mak Cik Timah di Sungai Layar dan rumah seorang lagi mak saudara. Lepas tu, balik rumah dan berehat.
Malam tu, sepupu saya (diat) yang juga berkahwin dengan orang Sungai Petani, telah datang ke rumah. Esoknya kami ke Yan dan Sungai Limau.
Mulai raya ke3 hingga ke 5, kami di rumah saje berkemas2 sebab rumah pusaka ini akan dijual. Masa berkemas timbul macam2 nostalgia lama bila melihat gambar lama dan barang lama. masing2 membelek dan membahagikan barang di antara adik-beradik. Tu yang makan 3 hari berkemas. Kami bertolak balik ke Johor jam 2.30 petang raya ke5. Sampai di Rengit jam 3 pagi. Kemudiannya, jam 10 malam hari jumaat kami bergerak balik ke Tiram. Hari Sabtu, kemas rumah sebab  sebelum raya tak kemas lagi. Hari Ahad dah sebuk nak hantar Aqila ke IPTI, Aliff ke SMK Mohd Khalid dan Afiqah ke MRSM Pontian, Maka tinggallah 3 orang di rumah lepas tu........  

18 September, 2009

2 hari sahaja lagi bulan Ramadan

Bulan Ramadan semakin meninggalkan kita. Hari ini Jumaat dan esok Sabtu sahaja yang tinggal untuk berpuasa. Hari Ahad dijangka I Syawal. Sedih jugak sebab terasa masa berlalu begitu cepat. Rasa macam tak sempat nak buat banyak ibadat tiba2 dah nak raya. Semalam, keluarga saya lengkap semula. Anak yang Sulong, Aqila dah sampai rumah. Yang kedua Aliff pun dah sampai rumah. yang ke3, dah sampai hari Rabu lagi. Aqila belajar di IPG Kampus Temenggung Ibrahim, JB. Aliff di Tingkatan 4, SMK Mohd Khalid JB dan Afiqah di MRSM Pontian. Nasib baik semuanya tak jauh, mudahlah nak ambil. Kalau jauh, terpaksalah naik bas sendiri. Semalam dapat berbuka 6 orang. Selalunya bertiga je.....

Pagi ini, saya memeriksa Toyota Unser, periksa minyak hitam, air bateri, tekanan angin pada tayar dan pergi hantar cuci. Lepas tu, ambil daun pandan belakang rumah dan letak dalam kereta. Pewangi percuma tak [erlu bayar. Nak letak banyak helaipun tak jadi masalah...hehehe

Petang ni, nak bergerak balik kampung. kali ni giliran Sungai Petani. Tapi persinggahan wajib kami adalah Rengit, Batu Pahat. Kena pastikan sampai Rengit sebelum waktu berbuka. Kemudian dalam jam 11 malam lebih kurang, kami sekeluarga akan memulakan perjalanan ke SP.

Mungkin dalam tempoh raya ni dalam seminggu jugalah saya takkan mengemaskini blog ini. Oleh itu, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir dan batin kepada sesiapa yang membaca blog ini. Selamat lkembali ke kampung dan pulang semula ke rumah dengan selamat dan sihat. Berhati-hati semasa memandu dan semasa makan.

Wassalam

Azhar Arifin

17 September, 2009

Tahniah Kepada Norlaila Othman

Saya membaca dalam Malaysiakini mengenai pembebasan tahanan ISA. Salah seorang daripada mereka adalah suami kepada rakan semasa menuntut di ITM Terengganu dulu iaitu Norlaila Othman. Saya tahu yang Norlaila begitu bersungguh-sungguh berjuang supaya suami beliau dan tahanan ISA yang lain dibebaskan. Namun, aktiviti beliau hanya saya ikuti melalui laman-laman web sahaja. Bersempena dengan bulan yang mulia ini sudah tentunya berita gembira ini menyejukkan sedikit hati Norlaila dan keluarga yang selama 8 tahun menderita terpisah di antara bapa dan anak dan suami dan isteri. Keluarga adalah sesuatu yang amat bernilai dalam kehidupan kita. Sewajarnya kita menghargai ikatan kekeluargaan ini. Saya amat menyanjung kesabaran dan kesetiaan Norlaila yang tabah hidup sendiri membesarkan anak beliau. Semoga selepas ini, keluarga beliau akan lebih rapat kerana ujian besar seperti ini sudah tentu memberi kesedaran betapa pentingnya orang yang tersayang dalam hidup kita.

Selamat menjalani kehidupan baru kepada Norlaila Othman, suami beliau Mat Shah dan anak tunggal mereka.

15 September, 2009

HARI RAYA MENJELANG TIBA

Beberapa hari lalu saya tidak berkesempatan mengemaskini blog saya ni. Saya ke Shah Alam kerana ada tugasan. Pertamanya menjadi urusetia Pertandingan Catur Bistari peringkat UiTM Shah Alam dan keduanya menjadi Panel Hakim Penilaian Rancangan Perniagaan Terbaik Program Siswa Bistari UiTM Shah Alam. Saya ke sana pada hari Sabtu dan tadi petang sampai ke rumah.

Alhamdulillah, sepanjang 4 hari di sana, ketiga-tiga malam saya mampu berkunjung ke Masjid Biru, Shah Alam untuk qiamullail. Terima kasih kepada Sdr Jamaludin (Ilham Lestari) yang menjadi peneguh semangat untuk saya bangun jam 3 pagi. Bukan mudah untuk bangun seawal itu kerana itu adalah waktu yang paling syok untuk tidur.

Saya nak cerita pasal masjid ni. Saya tidak pasti tentang masjid lain tapi saya tertarik dengan umat islam di Shah Alam yang benar-benar memanfaatkan 10 malam terakhir bulan Ramadan untuk beribadat. Bila saya sampai di masjid, saya terperanjat melihat begitu banyak kereta yang diletakkan di pekarangan masjid. Wah mesti ramai yang berada dalam masjid. Telahan saya memang benar malahan yang menariknya yang datang bukan individu semata-mata tetapi dengan keluarga. Ada yang sedang bersahur ada yang sedang membaca al-quran ada yang sedang solat dan ada juga yang sedang berehat. Kebanyakan mereka berada di dewan bawah masjid yang memang cukup luas. Saya juga meninjau persekitaran masjid dan menyaksikan banyak gerai jualan berada dalam kawasan masjid. Bukan di kawasan lapang tetapi dalam bangunan masjid. masjid ni memang besar. Bila saya ke tandas masjid, saya lihat kebersihan tandas memang cukup baik tetapi tidak lah sampai peringkat tandas di hotel 5 bintang tetapi memang bersih. Ada kemudahan mandi dan bersalin pakaian yang selesa dan banyak. Selepas saya meninjau kemudahan yang ada, saya mencadangkan kepada Sdr Jamaludin supaya kami bermalam di masjid pada malam ketiga dan beliau bersetuju. Bila kita berada dalam lingkungan orang yang bersolat, membaca al-quran kita pun jadi bersemangat dan menjadi berkeinginan untuk turut sama mengimarahkan malam di masjid tersebut. Memang tak rugi saya ke sana.

Insyallah, jika diberi peluang lagi, saya akan berusaha untuk beribadat di masjid ini. Tahniah kepada pengurusan masjid yang berjaya menjadikan masjid Shah Alam sebagai tempat aktiviti masyarakat dan bukan semata-mata tempat solat sahaja. Saya mengharapkan masjid-masjid lain di negara ini dapat belajar daripada kaedah pengurusan masjid ini yang aktif dan kreatif.

11 September, 2009

Cuba Ubah Rupa Blog

Rupa blog saya dah lain hehehehe. Semalam cuba-cuba ubah sikit sana, sikit sini dan dapatlah ubah sebagaimana yang boleh disaksikan bagi sesiapa yang masuk blog ni. Takdelah hebat mana tapi dah kira baik untuk orang yang baru berjinak-jinak seperti saya. Lepas ni nak usahakan supaya blog ni boleh menjana pendapatan pulak hehehe...Bukan nak kaya tapi cukuplah untuk cover duit dapur hehehe.

Saya 'access' blog ni melalui PC di pusat servis toyota di Larkin. Kereta Toyota Unser saya sedang dirawat oleh 'doktor' Toyota. Tak taulah apa sebenarnya masalah. Tengok gaya macam H1N1. Minyak hitam ada bau petrol. Wah macam mana petrol boleh menerobos ke tempat minyak hitam?Janganlah mahal-mahal kena caj. Raya dah tak lama lagi. Rabak poket kerana merawat Unser ni. tapi terpaksalah jugak. Kalau tak dirawat sekarang, dia jatuh sakit di tengah Lebuh raya utara selatan, apa cerita?. Dugaan bulan puasa......

Petang ni saya kena ambil Aliff (satu-satunya anak lelaki) dari asrama. Esok, Sabtu jam 2 petang saya akan ke Shah Alam kerana terbabit dengan Program Siswa Bistari di UiTM Shah Alam pada Ahad dan Isnin. Hari Selasa ada urusan di Bahagian Pengambilan, SPA, Putrajaya.

Jadi selepas ni mungkin boleh kemaskini blog ni hari Rabu......hari Rabu ada latihan Catur Bistari. Nak masuk Pertandingan Catur Bistari peringkat kebangsaan dalam bulan 11 nanti.

Nak cerita sikit pasal pusat servis toyota ni. Nak cerita kemudahan yang disediakan sementara menunggu kenderaan diservis. Tempat menunggunya sangat luas, ada kemudahan suratkhabar, ada 2 komputer yang boleh access internet boleh digunakan oleh sesiapapun percuma, ada kafe tapi tak taulah free ke kena bayar...malas nak tanya bulan puasa hehehe.

Lain kali bolehlah servis Unser di sini sebab selesa sangat. Layananpun bagus....promote jangan tak promote.....   

10 September, 2009

Masa nilah kereta meragam

Hari Sabtu lepas, Toyota Unser saya rosak di Giant Pelentong. Masa pergi tak ada masalah, bila nak balik tak mau hidup. Saya pun panggil mekanik yang biasa saya hantar kereta untuk servis. Dapat dihidupkan tapi kena bawa ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut sebab enjinnya macam lari 'tuning'nya. Petang tu, tak siap. Kena tunggu hari Ahad. hari Ahad pun tak siap. Hari Isnin pun tak siap. Hari selasa, bengkel tutup pulak. Tadi, bila pergi ke bengkel, mekanik tu menyerah kalah dan mengatakan kereta ni kena hantar pusat servis Toyota. Aduhai...kena periksa menggunakan komputer. Toyota ni pulak kena buat temujanji. Hari Khamis dah penuh, dapat temujanji hari Jumaat. Aiyoyo...janganlah kena mahal-mahal. Raya dah dekat dan kali ni nak balik Kedah pulak Inilah dugaan Tuhan. Kena sabar. Lebih baik rosak sekarang daripada rosak di tengah lebuhraya. Kalau di tengah lebuhraya, jawabnya beraya di lebuhrayalah sebab saya akan balik ke Kedah pada 18hb malam dan raya dijangka pada 20hb. Kena fikir positif, inilah caranya Allah swt nak tolong saya dan keluarga. jadi hari Jumaat ni kena ke Pusat Servis Toyota di Larkin.


Jadi kepada semua yang ada kenderaan, jangan biarkan kenderaan rosak di lebuhraya atau di jalanraya, baik periksa kenderaan sekarang. Biar kita beraya nanti dengan penuh ketenangan dan kegembiraan.

08 September, 2009

Lailatul Qadar Sudah Datang????!!!!!

Terima kasih Teddy Reezwan kerana sudi menjengah blog saya. UiTM mengingatkan saya kepada zaman ITM Terengganu sekitar tahun 82-85. Lamanya....kira zaman batulah tu. Dah 24 tahun berlalu.....wahhhhh tua dah saya....Kali ni saya teringat nak cerita pasal lailatul Qadar. Kena petik dari pakar. Ini bukan tulisan asal saya tapi petikan daripada beberapa laman web......


Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!". (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat. juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan. Bacaan lanjut di www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=208
BANYAK amalan salih dilakukan pada Ramadan dengan harapan mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah. Bagi setiap amalan dilakukan kita hendaklah berdoa supaya diterima Allah.

Sesungguhnya berdoa adalah satu tugas agama yang penting kedudukan dan mahal nilainya. Ia adalah pintu ibadah dalam memperhambakan diri kepada Allah dan memperlihatkan kerendahan jiwa kepada-Nya.

Ini jelas melalui sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Doa itu adalah otaknya ibadat." (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari).

Pengabdian atau ibadat yang dikerjakan tanpa berdoa adalah tidak berjiwa, hidup dan bergerak. Ini laksana tubuh yang tidak bernyawa – ada badan tetapi tidak dapat bergerak ke mana-mana.

Amalan berdoa digalakkan sepanjang masa, lebih-lebih lagi pada Ramadan, terutama pada Lailatul Qadar. Ia adalah malam paling mustajab berdoa, khususnya pada masa berlalu separuh malam dan ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.

Sepanjang Lailatul Qadar adalah saat doa yang dimakbulkan. Maka perbanyakkan doa pada malam itu.

Dalam satu hadis, Aisyah berkata: "Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu jika aku tahu Lailatul Qadar itu, apakah akan aku bacakan dalamnya?

Jawab Baginda: "Bacalah
"Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fuanni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini)." (Hadis riwayat al-Khamsah).

Ulama tasauf yang juga ulama fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata: "Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doa kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab."

Secara jelas dapat diperhatikan bahawa Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah.

Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doa dikabulkan Allah.

Tuhan selalu membuka pintu untuk hamba-Nya mengadu, memohon dan berdoa kepada-Nya. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Firman Allah lagi bermaksud: "Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Nya, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dengan hina." (Surah al-Mukmin, ayat 60).

Kehebatan Malam Al-Qadr

Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;

Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )

2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)

Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang, rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan

قال بن عباس يحكم الله أمر الدنيا إلى قابل في ليلة القدر ما كان من حياة أو موت أو رزق

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?

Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.

Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.

Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-

وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر

Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya laylatul Qadr ( selian bulan Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).

Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.

Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;

Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)

Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan. Tulisan di atas adalah petikan dari laman web http://www.zaharuddin.net/content/view/604/90/








06 September, 2009

Bulan Ramadan Bulan Bersedekah

Terima kasih kepada Naz yang sudi menjengah blog ini.

Alhamdulillah petang tadi saya dapat turut sama di Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Darul Hanan di Persada, Johor. Terima kasih kepada Cik Razana dari Hotel Puteri Pacific JB yang sudi menjemput saya untuk menjadi Pengacara Majlis.
Darul Hanan merupakan sebuah rumah anak yatim dn miskin yang terletak di Pasir Gudang. Sekarang ini terdapat 55 orang anak yang ditempatkan di situ. Mereka ini dari mata kasarnya memang beruntung kerana dari segi kebajikan memang tidak terabai. Rumah ini diusahakan oleh Johor Corporation melalui Mutiara Johor Corporation. Pengerusi rumah ini adalah Puan Sri Norzilah Mohd Ali, isteri Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Pada majlis tersebut, kedua-dua mereka turut hadir menyerikan suasana. Aturcara majlis bermula jam 5.30 petang. Pada majlis tersebut juga, Hotel Puteri Pacific JB dan Persada Johor telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM5000 kepada rumah tersebut. Selepas berbuka dan solat maghrib, semua tetamu telah diraikan dengan jamuan yang sungguh lazat. Kemudiannya semua tetamu solat jemaah isya dan solat terawih. Selepas solat, semua anak-anak ini telah diberikan sumbangan hari raya oleh pihak hotel. Mereka ini sudah tentunya gembira dengan bantuan yang diberikan. Semoga lebih banyak pihak akan terus membantu mana-mana rumah orang tua atau anak yatim dan miskin sebagai tanda keinsafan bahawa bukan semua orang senasib dengan kita yang bernasib baik ini.
Amalan bersedekah ini perlu diteruskan supaya mereka yang kurang bernasib baik dibela sewajarnya kerana mereka juga sudah tentu tidak mengharapkan nasib begitu. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. lagipun apabila matinya seseorang anak adam itu, yang dibawa bersama adalah 3 perkara iaitu anak yang soleh, ilmu baik yang diamalkan dan sedekah jariah.
Tidak guna kita kaya raya tetapi ada di kalangan saudara Islam kita yang menderita.

05 September, 2009

Orang Gaji ke Orang Ngaji ke Nak kena gergaji?

Terima kasih Mama Alisya yang sudi menjadi follower blog saya.

Gelak besar saya baca berita pasal Indonesia minta gaji minimum orang gaji RM800 sebulan. Ada orang di Malaysia yang pendapatannya RM500 sebulan dan tanggung 7 anak. Kalau minah Indon gaji RM300 sebulan pun saya tak nak bagi. Sebenarnya saya ni memang tak pernah ada orang gaji. Dari anak satu sampai anak empat, memang tak pernah ada orang gaji. Kalau takde orang gaji memang rumah tunggang-langgang, maklumlah kami berdua bekerja. isteri saya pun beruntung dapat suami yang tak kisah rumah macamana. Sebab utama adalah sayapun malas nak kemas dan diapun penat. Jadi jangan banyak songel sangat. Jangan sampai bau rumah macam minah Indon baru turn bot sudahlah. hahaha......

Saya pernah cuba ambil orang gaji. Dah bayarpun depositnya tapi saya buat keputusan batalkan sebabnya? Saya tak mau hilang privasi. Saya suka pakai seluar pendek atau berlenggeng dalam rumah. kalau ada yang bukan keluarga saya tak selesa nanti. jadi, saya tak mau korbankan privasi saya. lagipun, duit gaji orang gaji tu boleh saya gunakan untuk bawa anak isteri makan pizza hut ke kfc ke (Tan Sri Ali saya tolong kempen makan pizza hut dan kfc ke) lagi berbaloi. Makanlah sampai perut buncit dan tak boleh jalan.

Saya bukan anti Indonesia tapi agak-agak patutlah nak tuntut gaji tu. Di Malaysia pun takde satu kerja yang dah ditetapkan gaji minimum. Jadi saya minta sangatlah sedarlah diri sikit dan buat tuntutan yang berpada-pada. Orang Malaysia pulak, jangan terlalu bergantung pada orang gaji. Nak kemas rumah? Kan ada syarikat pembersihan rumah yang boleh datang seminggu sekali atau upah jiran2 yang takde kerja tu untuk bersihkan rumah ke, lipat bajuke, sidai kain dsbnya. Saya berani cakap sebab saya tak pernah ada orang gaji dan dah buat benda ni.

Lagipun, janganlah asyik rumah nak cantik 24 jam....bukan 24 jam orang datang rumah kita. Kita kena lihat masalah itu ditukar menjadi peluang. Inilah masanya bagi yang berjiwa keusahawanan untuk menggunakan peluang ini sebaik2nya. Mulalah buka minda untuk menyediakan perkhidmatan membersih rumah, menjaga anak, melipat baju, pergi ke pasar/kedai. Banyak peluang bisnes tu.

Kita usahakan supaya dikurangkan dan kalau boleh tak perlu lagi bergantungan kepada orang gaji Indon ni. Kita bagi mereka pesanan jangan ingat kita ni hadap sangat dengan perkhidmatan orang gaaji yang belum tentu kelasnya tu. Kadang-kadang buat perangai tak senonoh, mencuri barang majikan, buat maksiat masa majikan takde..... Ni kes orang gaji yang tak ngaji dan perlu kena gergaji.......

04 September, 2009

Nak Raya di mana? Rumah mak ke rumah mak mertua?

Hari ini hari ke 14 kita berpuasa. Sekejap sangat rasanya masa berlalu. Waktu saya kecil dulu, terasa lama benar hari-hari puasa berlalu. Kenangan waktu berpuasa dulu-dulu kadang-kadang datang juga. Teringat main bola di bulan puasa, mandi sambil telan air waktu tengahari, baring atas lantai simen dengan berseluar pendek kerana kepanasan dan keletihan, menunggang motosikal menghantar juadah berbuka ke rumah atuk di waktu petang sambil menikmati pemandangan kampung yang sungguh damai dengan serba kehijauan, bersembahyang terawih dengan cahaya pelita di surau kerana elektrik belum ada, terpaksa makan asing sebab tak puasa, perasaan malas bangun sahur kerana mengantuk teramat sangat dan banyak lagi. Semua ini kenangan indah yang pastinya tidak dapat dilupakan. Dulu rasa terseksa bila berpuasa. Sekarang puasa sudah sebati dan tidak menjadi masalah langsung. Dulu kalau ada peluang makan, mesti makan. Sekarang, kena ingat bukan budak-budak lagi. Sebab itu, bila lihat anak-anak yang mampu berpuasa tanpa paksaan terasa mereka jauh lebih hebat daripada saya.

Raya pun dah makin mendekati. Tahun ni saya akan beraya di Sungai Petani Kedah. Alhamdulillah, saya dan isteri tidak pernah menghadapi masalah nak beraya di mana sebabnya mudah. Tolak-ansur dan saling memahami. Kalau masing-masing berdegil nak beraya di kampung masing-masing memang susah. Saya dan isteri sejak tahun 1991 iaitu raya pertama sebagai suami isteri telah bersetuju secara senyap yang kami akan mengikut giliran. Bagaimana giliran pertama ditentukan? Mudah sahaja. Sebagai suami, saya kena jadi contoh dan berkorban walaupun saya boleh sahaja menggunakan kuasa veto. Saya telah bersetuju supaya raya pada 1991 di Sungai Petani, Kedah. Adakah saya hilang kejantanan kerana perkara ini? Lihatlah di sebalik keputusan ini. Walaupun saya terpaksa beraya di SP, tapi itu cuma untuk 4 atau 5 hari sahaja. Hari raya ke 6 tetap dapat beraya di Rengit. Kenapa? Sebabnya saya bertugas di Johor Corporation dan sudah tentu bertugas di Johor. Jadi apa isunya? Saya hanya mengganggapkan yang saya bercuti (Cuti-Cuti Malaysia hehehe). Lagipun, bila tiba giliran raya di Rengit, sangat sukar untuk beraya di Kedah. Kami hanya balik ke SP pada cuti sekolah hujung tahun jika beraya di Rengit. Jadi siapa lebih beruntung? Ini bukan soal untung rugi sebenarnya. Saya tak kisahpun sebab bagi saya yang penting adalah keharmonian suami isteri. Malahan pada 1992 yang sepatutnya giliran raya di Rengit, saya tetap beraya di SP. Sebabnya sebelum raya tahun 1992, mak mertua saya meninggal dunia. Jadi saya bersetuju untuk menangguhkan giliran Rengit supaya isteri saya rasa gembira. Kalau dia tak gembira, saya tak seronok. Kita nak orang yang disayangi gembirakan?
Sekarang pun sebenarnya balik beraya di SP sudah kurang meriah sebab kedua-dua mak dan bapak mertua dah meninggal dunia. Rumah tu pun dah kosong tetapi masih dijengah juga oleh abang ipar yang juga menetap di SP tetapi tidak tinggal di rumah tu. Tetapi amalan balik beraya tetap diteruskan sebab kalau tak berkumpul adik-beradik waktu raya, memang susah nak bertemu. Ikatan kekeluargaan mesti dieratkan. Tidak cukup setakat telefon, email, blog. Mesti kena jumpa secara fizikal. Barulah ada 'feel'............

03 September, 2009

Dunia Blog dan Followers

Terima kasih kepada JASA yang baru menjadi follower aka pengikut blog saya. Tujuan blog diwujudkan adalah untuk menjadi tempat mencurahkan isi hati, idea dan apa-apa sahaja yang ingin dikongsi bersama. Saya sebagai orang baru dalam dunia blog ini (dari segi usia taklah berapa baru), sudah tentu akan mengisi ruangan blog saya dengan perkara yang boleh membawa manfaat kepada sesiapa yang membaca. Mungkin apa yang dicatatkan pendek sahaja tetapi memang tak semua boleh dicatatkan seperti kata orang tiada kata secantik lukisan. Kalau kata2 pun dah susah nak menggambarkan sesuatu apatah lagi tulisan.


Paparan di blog saya adalah mengenai serba-sedikit kehidupan harian saya, pemerhatian harian saya, pengalaman kehidupan saya dan analisis peribadi saya mengenai apa yang berlaku di negara ini khususnya. Saya memang menggunakan nama sebenar saya dan di negara ini saya rasa tidak ramai yang mempunyai nama Azhar Arifin. Kalau nama Azhar tu memang ramai. Jadi sekiranya apa yang saya tulis menyentuh peribadi sesiapa saya terlebih dahulu memohon maaf.

Blog saya ini sangat 'simple' sesuai dengan kemampuan dan kerajinan saya yang tidak suka pening kepala mencuba yang baru yang disediakan oleh blog dan sekutu-sekutunya. Jadi paparan blog saya mungkin primitif bagi 'standard' setengah orang tapi yang penting adalah penyampaian. Saya juga sejauh yang boleh mengelakkan mengeja menggunakan kependekan sebab saya memang tidak minat dengan kependekan sebab saya pun golongan yang tidak berapa tinggi. Jadi kalau semuanya dah pendek, apa yang boleh ditinggikan?

Ayat dan perkataan yang saya gunakan akan mencerminkan yang saya ni seusia dengan Wan Zaleha Radzi hehehe tetapi saya menegaskan yang saya lebih kurang umur berbanding Mahadir Lokman. Sudah tentu Aznil juga lebih usianya dari saya. Tetapi saya juga menegaskan bahawa saya lebih umur daripada Zamzarina. Berteka-teki pulak.

Hari ini saya akan meneruskan latihan Catur Bistari. Kelmarin, saya telah mempelajari cara permainannya dan sudah menikmati permainan tersebut. Catur Bistari ni memang berbeza daripada monopoli. Ia lebih dekat dengan cara kehidupan seorang yang berjiwa usahawan. Kalau tak berjiwa usahawanpun, boleh disemaikan jiwa usahawan apabila mula bermain. Mula-mula main rasa macam susah tapi bila dah dapat 'feel' memang tak nak berhenti.

Johor Corporation kini sedang memperkenalkan permainan keusahawanan ini dan akan menyebarkannya ke setiap lapisan masyarakat di negara ini. Sekarang ni kebanyakan pelajar sekolah di negeri Johor sudah tahu tentang Catur Bistari sebagaimana mereka mengetahui tentang Tunas dan Didik Bistari. Tunas Bistari dan Didik Bistari adalah dua program penyemaian budaya keusahawanan di kalangan pelajar sekolah. Tunas Bistari untuk pelajar sekolah menengah. Didik Bistari pula untuk pelajar sekolah rendah. Mereka dididik berniaga. Program ini adalah idea Johor Corporation dan disokong oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor sejak 1992.

Selain itu, ada juga Siswa Bistari di mana pelajar IPTA didedahkan dengan keusahawanan juga. Siswa Bistari juga anjuran Johor Corporation dengan sokongan UiTM. Setakat ini UiTM Segamat, Johor dan UiTM Shah Alam telah terbabit dengan program ini.

Kenapa Bistari? Kenapa tidak Bestari? Bistari sebenarnya adalah kependekan daripada Bisnes dan Industri. Bestari pula, semaklah dalam kamus Dewan.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Catur Bistari bolehlah ke laman web www.caturbistari.com.my


wassalam

02 September, 2009

Catur Bistari

Catur Bistari? Ya...Catur Bistari! Hari ni saya nak belajar main Catur Bistari. Kenapa? Sebab akan ada pertandingan dalam bulan 10 ni. Catur Bistari adalah permainan keusahawanan yang diperkenalkan oleh Johor Corporation dan sedang mula dipopularkan untuk semua usahawan. Ia melatih kita dalam bentuk simulasi keusahawanan di mana permainan ini bermula dengan Laluan Makan Gaji. Sampai satu tahap pemain boleh beralih ke Laluan Tijarah dan tahap tertinggi adalah Laluan Jihad Bisnes. Permainan ni memang menarik. Tahun lepas dah dibuatpun pertandingan peringkat kebangsaan yang pertama di JB.

01 September, 2009

Dulu Lain, Sekarang Lain, Akan Datang Pasti Lain

Dulu masa saya kecil sekitar pertengahan 60 an dan di sepanjang 70 an, saya membesar di Rengit, sebuah pekan dalam daerah Batu Pahat Johor. Masa tu, kemudahan infrastruktur atau disebut juga prasarana masih kurang. Paip air ada tapi tekanan air amat rendah. Itupun tak semua kawasan di Rengit terutamanya yang di pendalaman mendapat bekalan air paip. Bagi yang rumahnya ada air paip pun sebenarnya lebih baik tak ada sebab airnya keluar halus dan tak kuat. Saya masih ingat terpaksa pergi ke rumah atuk saya di Parit Besar, Sri Ladang untuk mengambil air kolam atau mengambil air di mana-mana anak sungai yang bersih. Waktu itu, air sungai masih bersih dan sejuk sekali. Tapi sekarang sungai2 banyak yang dah dipenuhi rumput dan airnya pun macam air longkang, bau getah atau kelapa sawit. jangan cuba2 menggunakan air sungai sekarang. Bekalan elektrik juga waktu tu menggunakan bekalan daripada generator seorang taukeh Cina di Rengit. Bekalan elektrik cuma sebelah malam. Waktu siang takde elektrik.....Itupun ada juga yang buat penyambungan haram...TV memang takdelah. Kalau nak menonton tv kena pergi kedai kopi hailam. Saya pula pergi ke rumah atuk. Rumah dia ada tv. masa tu, setiap Jumaat malam sabtu ada tayangan filem di tv. jadi, tiap2 jumaat malam sabtu kami sekeluarga pergi rumah atuk berjalan kaki untuk menonton tv. Esok pagi2 balik rumah.


Kadang-kadang, bapa saya membawa saya ke kedai kopi cina untuk menonton gusti. Pergi jalan kaki dan balik saya dokong di belakang beliau.

Waktu tu, siapa ada motosikal dah kira golongan ada duit. Kalau ada kereta kira orang kaya. Kalau ada basikal pun dah kira bukan orang miskin. Saya pergi sekolah naik beca dari darjah 1 sampai darjah 3. Naik beca Atuk Amat. Darjah 4, bapa saya belikan sebuah basikal kecil tapi yang kelakarnya tayar basikal tu tayar sambung sebab takde saiz tayar. maka di sepanjang darjah 4 dan 5 saya ke sekolah naik basikal tayar sambung. bayangkan betapa tak selesanya tapi saya tetap naik....sebab itu adalah basikal pertama saya. Sungguh gembira dapat basikal.

Waktu tu pergi sekolah samada jalan kaki atau naik basikal masih selamat sebab kenderaan tak banyak. Mak bapak tak risau langsung keselamatan anak2 di jalanraya.

Apa yang saya ceritakan adalah sebahagian kecil kehidupan tahun2 saya membesar di Rengit. Sekarang ni, semuanya dah takde. Air paip sudah dinikmati oleh semua walaupun penduduk pendalaman dan tekanan airpun makin bagus. Bekalan elektrik juga sudah dinikmati oleh semua. Tapi hasil peredaran masa, mak bapak tak berani melepaskan anak2 ke sekolah naik basikal lagi. Kereta makin banyak.

Bapak saya tak pernah memiliki kereta tapi anak2nya ada 9 orang dan setiap orang ada kereta sendiri. Bayangkan kalau semua orang di Rengit begitu. Sudah tentu banyak keretanya. Sekarang ni, memiliki kereta bukan lagi sesuatu yang mewah. Hampir semua orang mampu membeli kereta tak kiralah kereta murah atau mahal.

Adakah kehidupan kita makin bertambah baik? Atau makin tertekan?

31 August, 2009

Hari ini Malaysia Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan

hari ini hari lahirnya sebuah negara bernama Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya ditukar nama kepada Malaysia. Yang lahir dan merdeka adalah negara ini. Yang tidak dijajah secara fizikalnya adalah negara ini. Yang boleh berlaku dan diperlaku tanpa gangguan adalah negara ini. Renungkanlkah ayat2 tu.


Negara ini sudah puas dijajah. Sejak kejatuhan Melaka pada tahun 1511 sehingga 1957 barulah negara ini bebas dari pentadbiran kuasa asing. 446 tahun terjajah. Bermula dengan Portugis, kemudiannya Belanda, kemudiannya Inggeris, kemudiannya Jepun, kemudiannya Inggeris semula.

Negara ini baru sahaja bebas 52 tahun. Bayangkan selama lebih 400 tahun terbelenggu oleh penjajah, adakah kita boleh berbangga dengan pencapaian negara ini setakat ini? Orang Melayu dah berjaya? Dah kuasai ekonomi? Masih kuasai politik? Adakah Melayu kini dihormati?

Ekonomi? DEB yang dicipta untuk bantu menjadi tongkat ekonomi Melayu pun gagal berfungsi. Politik? Akibat sengketa sesama pemimpin yang tamak dan gila kuasa dan ingin menongkat langit, Melayu berpecah sejak 1998 sampai sekarang. Pemimpin sekarang ni banyak yang menggunakan pendekatan matlamat menghalalkan cara. Ini namanya pemimpin jahanam. Dia kaya-raya rakyat kekal macam ni. Suruh rakyat sokong dia, lepas berkuasa? janji tinggal janji. Boleh jalan semua pemimpin penipu bangsa, agama dan negara.

Di mana pemimpin yang benar2 jujur? Rakyat kita masih ramai yang susah dan perlu bantuan....Apa pemimpin di semua peringkat buat? Pakat-pakat hulur bantuan waktu bulan Puasa. Dapatlah seorang RM50 ke RM100 satu keluarga. Dapatlah beras 10kg, ikan bilis sekilo, lada kering sikit.....dsbnya nak bagi bantuan kepada 20 ke 30 orang, buat majlis, panggil media...kalau media tak datang siaplah Unit PR kena marah.....

Mereka semua pakat bantu bulan pose. Macam mana bulan2 lain? Macam mana dengan bantuan joran? Kenapa yang dibagi hanya ikan? Cubalah fikirkan bantuan jangka panjang supaya mereka tidak lagi menunggu bulan pose je..

30 August, 2009

Merdeka : Apa Ertinya?

Esok 31 Ogos 2009. Negara tercinta ini menyambut ulangtahun kemerdekaannya yang ke 52. Dulu, para pemimpin kita berusaha mendapatkan kemerdekaan. Waktu itu, 'survival' menjadi asas perjuangan. Tidak terfikir tentang kehidupan mewah malahan mereka berkorban jiwa raga, wang ringgit, keluarga, harta benda dan sebagainya demi memastikan hasrat untuk membebaskan negara ini daripada penjajah tercapai. Waktu itu tidak terfikir langsung yang jawatan politik yang dipegang akan memberikan mereka keselesaan hidup. Semuanya dilakukan dengan penuh kejujuran. Kini? jawatan politik dikejar sebagai topeng kononnya untuk berbakti kepada negara tetapi yang lebihnya adalah untuk mengejar projek dan peluang menjana kekayaan. Betapa berbezanya niat dulu dan kini....

Esok, sudah pasti ramai yang berkumpul menyambut merdeka tetapi dalam ramai-ramai yang berkumpul itu, adakah mereka itu benar2 menghayati makna merdeka? Merdeka bererti bebas. Bebas untuk melakukan apa sahaja dalam batasan undang-undang dan agama. kalau merdeka tanpa menghiraukan undang-undang dan agama itu namanya apa? Adakah merdeka itu mengira 'countdown' menjelang detik 12 tengah malam? Cukupkah melaungkan merdeka sekuat-kuatnya? Bagaimana dengan merdeka dari sudut kewangan? Merdeka dari segi hutang? Merdeka untuk berjalan-jalan tanpa diragut? Merdeka untuk menyatakan apa sahaja tanpa menjejaskan perasaan orang lain?

Merdeka sepatutnya dijadikan permulaan untuk kita merenungkan semula kehidupan kita dan keluarga. Kalau keluarga kita masih lagi berhutang, masih lagi tak mampu memiliki apa yang dihajatkan, masih berharap orang lain membantu kita.....maka apakah kita sudah merdeka? Masih merdekakah kita kalau berharap kepada gaji setiap bulan? Kalau takde gaji kita duduk termenung dan pening?

Kita belum merdeka sebenarnya......renungkanlah dan selamat beramal........mmmmmmmmmmmm sape punya tagline ni? Pinjam ye.....Prof Izi

29 August, 2009

Sentuhan Ramadan

Alhamdulillah, semalam saya terbabit dengan majlis Sentuhan Ramadan anjuran Biro KebajikanDewan Perdagangan Islam Malaysia Negeri Johor dengan kerjasama Damansara Assets Sdn Bhd dan Masjid An-Nur, Kotaraya. Macam biasa, tugas saya adalah sebagai MC atau Pengacara Majlis. Tetamu khas adalah Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation dan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Johor.

Di majlis ini, seramai 65 orang murid-murid kurang kemampuan daripada 13 buah sekolah di sekitar JB telah diberikan bantuan berupa duit raya, beg sekolah dan peralatan persekolahan.

Selain itu, di majlis ini juga dilancarkan secara rasmi Bazar Tujar Ramadan yang bertempat di bangunan-bangunan yang diuruskan oleh DASB iaitu Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, Kotaraya, Larkin Sentral, Pusat Bandar Damansara, KOMTAR, JB.

Majlis bermula selepas solat asar dan sebelum berbuka puasa, tazkirah telah disampaikan oleh Ustaz Hafiyah Abd RAzak, dari jabatan Mufti Negeri Johor.

Semoga usaha murni seperti ini menjadi amalan dan subur di kalangan badan2 korporat di negara ini.

27 August, 2009

Ikatan Silaturrahim Penting Untuk Kita Semua

Salam.
Pada jam 11.30 pagi semalam saya dan keluarga ke kota Tinggi mencari baju raya untuk anak-anak dara yang 3 orang tu. Baju di KT murah sikit berbanding Angsana. Lepas tu singgah pekan Tiram untuk 'alter' uniform kadet polis Afiqah dan seluar jeans budak-budak tu. Lepas tu ke Tesco Tebrau membeli barangan dapur.

Balik rumah hubungi Yayan dan Dayah ajak keluarga masing-masing berbuka puasa di rumah. Di JB ni adik-beradik saya yang ada tujelah. Ada juga yang lain tapi yang lebih utama rapatkan hubungan dengan adik-adik sendiri.

Petang ni nak hantar Aqila balik ke asrama di IPTI, JB. Pagi-pagi Jumaat dia nak ke KL kerana pelajar IPTI terbabit dengan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ni. Alhamdulillah, setakat ni dia serasi di sana. Minta-minta biarlah lulus cemerlang dan keluar menjadi seorang guru Bahasa Inggeris yang baik. Bila difikirkan balik, Aqila ni meneruskan warisan guru Bahasa Inggeris dalam keluarga. Anjang Aton, cikgu BI, Pak Ngah Amir dia juga cikgu BI dan Acu Nat dia pun cikgu BI. Tak kisahlah yang penting bila tamat belajar, tak payah pening cari kerja.

Sekarang ni, tumpuan terhadap Aliff dan Amiera pulak. Kena bantu untuk pastikan dia juga berjaya dalam SPM tahun 2010. Tahun depan jugak, Amiera akan ambil UPSR. Afiqah tahun 2011 baru PMR. Minta-minta Aliff dah mula sedar betapa pentingnya SPM untuk masa depan dia di dunia ni. Lagipun dia satu-satunya 'boy' dalam keluarga saya. Amiera pulak, kalau beri tumpuan kepada kerja rumah yang cikgu bagi dan buat latihan tambahan mulai sekarang, tak mustahil untuk meneruskan kecemerlangan Afiqah dengan mendapat 5A dalam UPSR. Yang penting diri sendiri kena sedar. Kalau nak berjaya, kena berusaha dari sekarang dan bukannya 'tungguuuuuuuuuuuuuuu'. Menunggu dan membiarkan masa menghampiri tahun depan adalah sikap yang merbahaya untuk diri sendiri....

wassalam

26 August, 2009

Puasa Menguji Kita

Salam. Semalam saya sekeluarga ke Angsana untuk shopping baju raya. Masing-masing dah diperuntukkan sejumlah bajet untuk diri masing-masing. Alhamdulillah, anak-anak semuanya tidak membantah walaupun bajetnya tidaklah besar mana. Sebenarnya setiap kali nak shopping kalau kita amalkan menyediakan bajet akan membantu mengawal pengurusan wang tunai kita. Yang paling utama jangan bershopping gunakan kad kredit. Bahaya sangat tu, macam menyerah leher ke Along.

Saya dan isteri saya pun sebenarnya memang dah amalkan menyediakan bajet untuk anak-anak ni sejak beberapa lama. Mereka boleh memilih apa sahaja keperluan raya asalkan dalam lingkungan bajet tersebut. Nak beli kasut ke, t-shirt ke dsbnya. Bajet ni tak termasuk baju kurung atau baju Melayu. Jadi budak-budak ni seronok bershopping mengikut citarasa masing-masing. Tapi bagusnya ada yang kawal bajet sendiri dan tak mau berbelanja sangat.

Balik dari Angsana, singgah di pasar ramadan Kg Melayu. Waktu dah jam 4.30 petang jadi tak sempat nak masak di rumah. Yang ni susah sikit nak bajet sebab ikut selera tapi taklah melampau. hehehe

25 August, 2009

Mari Semai Benih Keusahawanan

Salam. Kalau rajin sebenarnya duduk di JB ni boleh buat duit. Saya ada ramai rakan yang tidak bekerja makan gaji. Ada yang berniaga pasar malam, ada yang buat latihan, ada yang buat bisnes takaful dsbnya. Perkara pokok adalah usaha keras tidak malu2, sentiasa mencari jalan nak berniaga. Saya kadang-kadang hairan dengan orang yang mempunyai kebolehan tetapi tidak menggunakan sepenuhnya kebolehan itu. Ada yang pandai masak tapi tak mau berniaga. Setakat nak lesen pasar malam, boleh diusahakan. Sekarang ni ramai orang yang berniaga tanpa lesenpun. Cari aje kawasan perumahan yang ramai orang. Kenalpasti kawasan atau tempat yang sesuai i.e tempat laluan kenderaan, ada tempat parking. Modal? Untuk permulaan gunakan apa yang ada. Kalau perlu pinjam dulu peralatan dari kawan2 atau jiran atau saudar-mara.

Selain daripada itu, kenalpasti kawasan pejabat yang jauh dari kedai makan. Di situlah peluang berniaga makanan. Di JB ni, kalau rajin pergi dari satu pejabat ke satu pejabat dan buat tawaran penghantaran makanan ke pejabat, gerenti ada permintaan.

Pendekata banyak cara untuk berniaga. Di bulan ramadan ni, bazar ramadan bercambah. Kalau tak untung takkan muka yang sama je berniaga tiap2 tahun? Yang paling penting adalah kena belajar untuk memulakan langkah pertama dan kena belajar untuk menebalkan muka setebal tembuk besar negeri cina. Orang kita kebanyakannya terlalu pemalu dan takut dikata orang.....

24 August, 2009

Ramadan Datang Lagi

Salam Ramadan
Seperti tahun-tahun sebelum ni, kini datang lagi bulan Almubarak, Ramadan. Alhamdulillah, saya masih dapat bertemu dengan Ramadan kali ni. Bulan ini memang saya nantikan setiap tahun. Dulu masa kecil-kecil, bulan ni dirasakan amat menyeksakan kerana tak boleh makan waktu siang. Tapi sekarang tak de masalah langsung. Malahan ianya sangat baik untuk penjagaan kesihatan terutamanya bagi yang dah berusia hampir setengah abad seperti saya ni. Dah menghampiri usia 50 tahun, tak lama dah 5 tahun je lagi. Tapi hati tetap rasa seperti orang muda. Syukur, sebab kesihatan masih baik dan tidak ada penyakit merbahaya yang mendekati. Sebab tu kena jaga apa yang dimakan.

Hari ni dah masuk hari ke 3. Esok dah puasa ke 4. Saya berazam untuk kawal makan dan kurangkan melawat bazar ramadan kerana di situlah ujian nafsu sangat hebat. Semua yang dilihat teringin nak dirasa. jadi baiknya kurangkan ke bazar ramadan. Sejak kerja sendiri ni, saya pun dah mula berjinak-jinak dengan dapur. Bolehlah masak yang mudah-mudah seperti nasi goreng, masak lemak cili padi, masak nasi hehehe. Saya pun dah pandai buat air soya dan dadih.

kadang-kadang bila fikir, bukan susah sangat masak ni. Tapi sebab selama ni rasa malas nak ke dapur tu yang rasa susah. Saya teringin nak masak yang lebih mencabar seperti rendang, nasi baryani, nasi ayam, nasi lemak dsbnya. Nantilah dulu, satu per satu. Tak boleh tunjuk sangat, nanti pecah rahsia. Biar orang tak tau lagi. hehehehe

20 August, 2009

Perasaan Insan Yang Bernama Ibu dan Bapa

Salam semua. Ibu dan bapa adalah dua insan agung untuk kita semua. Tanpa mereka yang bersatu, tidak akan lahir kita di dunia fana ini. Masa saya kecil dulu, saya selalu berfikir apa akan jadi kalau mak dan bak takde lagi di dunia ini. hubungan saya dengan mak dan bak memang baik tapi sehingga kini saya masih merasa yang saya tidak cukup memberikan sesuatu untuk mereka. Dari segi harta benda, saya tidak mampu untuk memberi mereka rumah banglo, wang yang banyak dsbnya. Dari segi kasih sayang juga saya tidak memperlihatkan yang saya sayang mereka secukupnya. Tapi saya sayang mak dan bak. Mereka berdua kini sudah berusia 69 tahun (mak) dan 74 tahun (bak). Usia mereka dah dikategorikan sebagai usia bonus. Selagi mereka masih berada di dunia ini, sepatutnya saya lebih kerap menghubungi dan mengambilberat tentang mereka. Mereka tak mau duit saya sebab mereka tau saya takde duit. Bak sebenarnya sudah boleh hidup selesa sekarang ni sebab pencen bulanan dia mencukupi untuk mereka berdua. Malahan bak boleh memberi wang kepada cucunya bila mereka balik. Sekarang ni apa yang mereka harapkan agar anak-anak dan cucu-cucu lebih kerap balik kampung dan mengunjungi mereka. Itu sahaja yang mereka mahukan. Mereka cukup berpuashati mendengar cucu-cucu yang bermain dan bising sehingga ke tengah malam kerana cucu-cucu ni kalau dah berkumpul, macam takde rasa mengantuk sehingga perlu diingatkan suruh tidur. Sekarang ni mak dan bak bukanlah sihat sangat. Saya hanya mampu berdoa semoga mereka dapat terus bersama kami semua seberapa lama yang boleh. Saya rasa belum bersedia untuk menerima berita kehilangan mereka. Dari segi psikologinya, mak dan bak adalah penyokong hidup saya. Untuk mak dan bak...A'a sayang mak dan bak.

18 August, 2009

Tijarah Ramadan.Musim 5 / 2009

Malam tadi saya sampai di rumah dari KL. My wife ambil di Persada Johor sebab saya menumpang kenderaan JCorp. Segan pulak nak mintak hantar sampai rumah. Alhamdulillah, semalam saya telah selamat menjalankan tugas sebagai Pengacara majlis Pelancaran Tijarah Ramadan yang akan ditayangkan di sepanjang bulan puasa ni di TV1 pada jam 6 petang setiap hari. Tetamu kenamaan untuk majlis ni adalah YB Mejar Heneral Dato' Jamil Khir Bin Haji Baharom, menteri di jabatan Perdana Menteri. Tetamu yang lain dah tentulah Tan Sri Ali hashim, boss JCorp. Ada juga Tan Sri Elias Omar. Syukurlah walaupun ada sedikit kesilapan yang mungkin tidak disedari orang lain, saya mampu mengendalikan majlis tersebut dengan baik.

Kalau nak tahu tentang program ni silalah tonton TV1.

15 August, 2009

Tanam Cili Padi

Hari ini, saya membuka kembali blog ini selepas ditinggalkan sekian lama. Sebenarnya hati ini teringin nak update setiap hari tapi kesungguhan tidak kuat...jadi tersadailah blog ini buat sekian lamanya. Insyallah, selepas ini akan berusaha untuk update lebih kerap sebagai diari kehidupan. Esok Ahad 16 Ogos 2009, saya akan ke KL. Ada tugas pada hari Isnin iaitu menjadi MC untuk Majlis Pelancaran Program TV Tijarah terbitan JCorp dan JAKIM. Sudah 5 musim program ini ke udara di sepanjang bulan Ramadan di TV1. Maknanya sudah 5 tahun juga saya menjadi Pengacara Majlis Pelancaran Program. Tapi cuma majlis pelancarannya bukan masuk TV....hehehe...

Pada 11 dan 12 Ogos lalu saya menjadi Pengacara Seminar Pembangunan Hartanah menurut Perspektif Islam yang telah berlangsung di IKIM, KL. Alhamdulillah, selama 2 hari menjadi pengacara termasuk majlis perasmiannya, tidak ada masalah berlaku kecuali sedikit masalah teknikal. Terima kasih kepada IPPJ yang menjemput saya.

Beberapa hari lagi akan datang lagi bulan Ramadan. Selamat menyambut Ramadan, semoga kita semua dapat menjalaninya dengan tabah dan diberkati, insya Allah.

Wassalam

15 January, 2009

Hari ketiga dan keempat 14 dan 15 Januari 2009

Semalam pagi, saya bertemu teman-teman di Syarikat Pengangkutan Maju Berhad, memberi penerangan mengenai pentingnya membuat surat wasiat. Alhamdulillah, seramai 7 orang telah bersetuju dan mengisi borang membuat surat wasiat dengan Amanah Raya Berhad.

Selepas itu, saya terus menguruskan penghantaran borang wasiat mereka. Selesai sahaja, saya menuju ke Ulu Tiram untuk balik ke rumah.

Kemudian saya menerima panggilan telefon daripada Norlinda Ibrahim, memaklumkan bayaran Pengacara Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran Catur Bistari KFC Peringkat Kebangsaan 2008/2009 yang saya acarakan pada 10 Januari 2009 di Persada Johor telah siap. Saya memberitahu beliau, esok pagi iaitu 15 Januari saya akan ke pejabat Bistari Young Entrepreneur Sdn Bhd untuk mengambil bayaran tersebut.

Pagi ni, selepas menghantar anak saya ke sekolah, saya singgah di Stesyen Minyak Petronas di Jalan Lingkaran Dalam JB (ini adalah kebiasaan saya setiap pagi selepas cuti sekolah tamat). Saya ke situ membeli akhbar dan membacanya dalam kereta sementara menanti jam 8 pagi. Jam 8 pagi saya ke Menara Ansar, JB menemui Norlinda. Beliau mencadangkan saya membantu beliau untuk membuat program Summer Camp Catur Bistari. Wah, ini satu cadangan yang baik. Catur Biistari adalah business game yang telah dicipta oleh JCorp dan sedang dikembangkan di seluruh negara. Insyallah sedikit masa lagi ia akan menjadi popular dan dimainkan seperti mana terkenalnya monopoli.

13 January, 2009

Hari Kedua 13 Januari 2009

Salam. Hari ni hari kedua saya menulis di ruangan ini. Saya ingin bercerita tentang kenapa saya menceburi industri Takaful. Sebenarnya, saya tertarik dengan industri ini sejak tahun 2002. Pada tahun tersebut JCorp telah melaksanakan Skim VSS. Pada masa itu saya adalah Pengurus Jabatan Pembangunan Tenaga Insan. Jadi saya bertanggungjawab untuk menguruskan segala urusan berkaitan dengan VSS ini. Banyak kerjanya. Di antaranya berurusan dengan LHDN, Pejabat Buruh dsbnya. Selain daripada itu, saya juga mengenalpasti pihak-pihak yang boleh memberi pendedahan kepada bakal-bakal anggota pekerja VSS ini tentang peluang-peluang niaga di luar JCorp. Di antara yang dipanggil adalah wakil daripada syarikat insurans. Jadi, daripada situ saya mengkaji dan mendalami industri ini. makin lama makin minat. Kemudiannya saya telah ternampak satu ruang untuk saya terbabit dengan industri ini. nanti saya akan cerita kemudian. Bye.....

12 January, 2009

Masih Hari Pertama

Salam. Ada ramai yang bertanya kenapa saya membuat kerja 'gila' dengan berhenti daripada JCorp? Saya akui saya memang gila. Ada yang kata saya ni mencari penyakit. Ada yang tanya bolehke hidup lepas ni? Ada yang menyokong usaha saya dan mengucapkan selamat maju jaya. Saya ucapkan terima kasih kepada semua. harapan saya adalah doakanlah semoga saya mampu mengharungi hidup di luar JCorp. Terus-terang saya sendiri tak pasti samada saya akan 'survive' atau tidak. Tapi saya mempunyai keyakinan. Sejak saya berhenti berkuatkuasa 4 Oktober 2008 hingga sekarang 12 Januari 2009, saya masih boleh bertahan, insyaAllah.

Saya akan terus berusaha untuk menruskan kehidupan ini. Saya tidak bermatlamat untuk kaya raya, cukuplah sekadar dapat menampung kehidupan dan menunaikan kewajipan kepada keluarga. Setakat ini, saya berterima kasih kepada JCorp yang memberi peluang kepada saya untuk mengcarakan majlis-majlis yang membabitkan kenamaan-kenamaan negari dan negara.

Pengalaman menjadi pengacara majlis ini bukan mudah sebenarnya. Saya masih ingat, yang saya menjadi pengacara secara bidan terjun. Tarikhnya pun saya masih ingat lagi, 1 Januari 1991. Tarikh tersebut mencatatkan permulaan saya menjadi pengacara majlis. Saya seharusnya berterima kasih kepada sahabat saya Azhari Abdul Hamid yang mengenakan saya supaya menjadi MC bersempena Majlis Mesyuarat Anngota Pekerja JCorp pada tarikh tersebut.

Kalau Azhari tidak mengenakan saya, sampai sekarang saya tak tahu yang saya berbakat dalam bidang pengacaraan majlis. Memang saya tak terkenal seperti Aznil, Azwan, Mahathir Lokman, Suhaimi Sulaiman dan ramai lagi. Tapi saya biasa menjadi pengacara untuk majlis-majlis yang membabitkan ramai kenamaan negara seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato' Seri Hishamuddin, Dato' Hj Abd Ghani Othman, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Rafidah Aziz, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ramai lagi. Malahan saya biasa mengacarakan majlis yang membabitkan kerabat DiRaja Johor iaitu DYMM Baginda Sultan Johor, DYMM Baginda Sultanah Johor, DYAM Tunku Mahkota Johor, YAM Raja zarith Sofia dan YAM Tunku Bendahara Johor. Apa yang saya nyatakan ini bukanlah berniat untuk bercakap besar tetapi sekadar memberitahu apa yang pernah saya lakukan.

Majlis-majlis yang saya pernah mengacarakan adalah pelbagai. Kursus dan Seminar, Pelancaran Produk, Pelancaran Buku, Pertandingan Golf Amal, Hari Keluarga, Mesyuarat Agong, Penyampaian Hadiah, Jamuan Makan Malam, Anugerah Kecemerlangan, Upacara Pecah Tanah, Pertemuan Hari Raya, Majlis Perkahwinan dan banyak lagi.

Alhamdulillah, setakat ini, saya tidak menghadapi masalah mengacarakan majlis-majlis tersebut. Dari segi standard pula, saya sendiri tidak berani nak memuji diri sendiri tetapi berdasarkan maklumbalas selama hampir 18 tahun, standard pengacaraan saya adalah setaraf dengan mana-mana pengacara terkemuka di negara ini. Malahan, saya tidak akan melupakan kata-kata Tun Dr Siti Hasmah semasa beliau menjadi Tetamu Utama Majlis Konvokesyen Puteri Nursing Colllege (milik KPJ Healthcare) yang pertama kalau tak silap saya pada tahun 1992 di Hotel Crown Princess, KL. Beliau mengucapkan demikian sebaik habis majlis di mana saya telah diperkenalkan kepada beliau oleh YBhg Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim. Beliau berkata : " Wah....you pandai mengaturcararing.....". Saya berasa begitu terharu menerima kata-kata sedemikian daripada seorang isteri pemimoin utama negara.

Cukuplah dulu. Nanti saya akan bercerita lagi tentang pengalaman-pengalaman lain.

Wassalam

Azhar Arifin

Hari Pertama 12 Januari 2008

Hari ini, seorang sahabat yang juga seorang Pensyarah di UiTM Shah Alam mencadangkan saya menyediakan blog sendiri untuk memperkenalkan diri kepada dunia tentang perkhidmatan yang disediakan saya.

Memang dah lama teringin nak buat blog sendiri tapi rasa macam payah. Hari ni kena gagahkan diri duduk depan laptop dan buat akaun blog dalam googles.

Saya rasa elok saya memperkenalkan diri. Saya bernama Azhar Arifin. Berasal dari negeri Johor dan kini menetap di Ulu Tiram, Johor Bahru. Saya berusia 44 tahun dan mempunyai sebuah keluarga yang bahagia dengan 4 orang anak. Isteri saya seorang Guru dan bertugas di SMK Desa Cemerlang tidak jauh dari rumah saya.

Anak saya yang sulong, Aqila, kini sedang menunggu keputusan SPM. Anak yang kedua, Aliff, dalam Tingkatan 4. Anak yang nombor 3, Afiqah, dalam tingkatan 1 dan yang kecil Amiera, dalam darjah 5.

Saya telah dilahirkan di Rengit, Batu Pahat, Johor. Saya bersekolah di Sekolah Inggeris Rengit. Kemudiannya saya bersekolah di Sek Men Rendah Kebangsaan Rengit sehingga Tingkatan 3. Saya meneruskan pelajaran di Sek Tinggi Batu Pahat sehingga Tingkatan 5.

Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di ITM Terengganu (Dungun) dalam Diploma Pentadbiran Awam. Kemudiannya saya meneruskan pengajian di UUM dalam Bachelor Pentadbiran Awam.

Selepas tamat pengajian, pada 2 Mei 1989, saya telah diterima bertugas di PKENJ sebagai Eksekutif Pelatih. Saya kekal dengan PKENJ (sekarang dikenali sebagai Johor Corporation) sehingga 3 Oktober 2008. Maknanya saya berkhidmat dalam kumpulan JCorp selama hampir 19 tahun.

Sekarang saya sepenuh masa menjadi Perunding Takaful dan Perancangan Harta Islam. Saya juga kini menjadi seorang Pengacara Majlis / MC secara profesional. Cukuplah buat hari ini, salam pengenalan daripada saya. Di lain kali saya akan terus menulis di blog ini untuk merakamkan apa yang saya buat dan pengalaman-pengalaman hidup yang mungkin menarik dan mungkin juga kurang menarik tapi sangat bererti dalam hidup saya.

Sekian, wassalam.

Azhar Arifin