BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

ISTERI & ANAK BONGSUKU

ISTERI & ANAK BONGSUKU
Yang nampak baju hijau bersongkok tu sayalah

Coretan Kesedaran Untuk Cerminan Diri Sendiri

My photo
Dari Rengit ke Sungai Petani, Menetap di Ulu Tiram bersama isteri dan 4 anak, Malaysia
Pengacara Majlis, Trainer Pengacara Majlis, Pengurusan Acara, Pengucapan Awam, Team Building, Kepimpinan, Penyeliaan, Motivasi Diri dan Kumpulan dan Perunding Program Tunas Bistari, Didik Bistari dan Siswa Bistari anjuran JCORP

27 September, 2009

Dah Balik Tiram Semula

Saya dan keluarga bergerak ke utara pada hari Jumaat, 2 hari sebelum raya. Kami bergerak jam 6.30 petang ke Rengit dulu. Berbuka dalam kereta je. Sampai Rengit jam 8 malam. Kemudian pada jam 12.30 malam kami memulakan perjalanan ke Sg Petani. Jam 4 pagi kami sampai di R&R Dengkil dan bersahur di sana. Pada jam 5 pagi kami meneruskan perjalanan dan berhenti di Restoren jejantas Sg Buloh untuk solat Subuh dan mandi. Pada jam 7 pagi kami meneruskan perjalanan. Tidak lama lepas tu, Lebuhraya Utara Selatan mulai sesak dengan kenderaan menghala ke utara. Di Behrang, kami mulai merasai nikmat 'jem' di lebuhraya. Sampai di Sungkai, kami keluar melalui jalan lama. mulanya jalan elok tapi di Bidor, jalan jem lagi. Kami masuk semula ke lebuhraya. Kami terpaksa menempoh kesesakan lagi. Selepas terowong, kami berehat di 'vista point. Tak tahan kerana mengantuk. Lepas tu kami teruskan perjalanan. Kesesakan berterusan hinggalah di Tol Juru. Lepas tu jalan mulai lega sikit tapi kenderaan tetap banyak. Akhirnya kami selamat sampai di Sungai petani jam 4.30 petang. Begitulah ringkasan cerita balik kampung kami. Memang 'thrill'.
Hari raya pertama, saya bangun awal sebelum masuk waktu Subuh. Kejutkan budak-budak suruh bangun dan bersiap untuk Solat di Masjid Penghulu Hem, Sungai Layar. Khutbah yang disampaikan sangat menarik. Kalau BN dengar mesti menangis....isu utama adalah mengenai pendidikan anak-anak. Lepas solat, melawat kubur bersebelahan masjid. Di sinilah disemadikan ibu dan bapa mertua saya, Allahyarham Haji Ahmad Bin Said, meninggal pada hujung 2004 dan Allahyarham Hajah Seha Binti Bab, meninggal pada awal 1992.
Lepas tu, balik ke rumah. Di rumah kami makan-makan dan lepas tu bermaafan. Lepas tu, membahagikan duit raya untuk anak-anak saudara.
Lepas tu, kami ke rumah Mak Saudara isteri ku, mak Cik Timah di Sungai Layar dan rumah seorang lagi mak saudara. Lepas tu, balik rumah dan berehat.
Malam tu, sepupu saya (diat) yang juga berkahwin dengan orang Sungai Petani, telah datang ke rumah. Esoknya kami ke Yan dan Sungai Limau.
Mulai raya ke3 hingga ke 5, kami di rumah saje berkemas2 sebab rumah pusaka ini akan dijual. Masa berkemas timbul macam2 nostalgia lama bila melihat gambar lama dan barang lama. masing2 membelek dan membahagikan barang di antara adik-beradik. Tu yang makan 3 hari berkemas. Kami bertolak balik ke Johor jam 2.30 petang raya ke5. Sampai di Rengit jam 3 pagi. Kemudiannya, jam 10 malam hari jumaat kami bergerak balik ke Tiram. Hari Sabtu, kemas rumah sebab  sebelum raya tak kemas lagi. Hari Ahad dah sebuk nak hantar Aqila ke IPTI, Aliff ke SMK Mohd Khalid dan Afiqah ke MRSM Pontian, Maka tinggallah 3 orang di rumah lepas tu........  

18 September, 2009

2 hari sahaja lagi bulan Ramadan

Bulan Ramadan semakin meninggalkan kita. Hari ini Jumaat dan esok Sabtu sahaja yang tinggal untuk berpuasa. Hari Ahad dijangka I Syawal. Sedih jugak sebab terasa masa berlalu begitu cepat. Rasa macam tak sempat nak buat banyak ibadat tiba2 dah nak raya. Semalam, keluarga saya lengkap semula. Anak yang Sulong, Aqila dah sampai rumah. Yang kedua Aliff pun dah sampai rumah. yang ke3, dah sampai hari Rabu lagi. Aqila belajar di IPG Kampus Temenggung Ibrahim, JB. Aliff di Tingkatan 4, SMK Mohd Khalid JB dan Afiqah di MRSM Pontian. Nasib baik semuanya tak jauh, mudahlah nak ambil. Kalau jauh, terpaksalah naik bas sendiri. Semalam dapat berbuka 6 orang. Selalunya bertiga je.....

Pagi ini, saya memeriksa Toyota Unser, periksa minyak hitam, air bateri, tekanan angin pada tayar dan pergi hantar cuci. Lepas tu, ambil daun pandan belakang rumah dan letak dalam kereta. Pewangi percuma tak [erlu bayar. Nak letak banyak helaipun tak jadi masalah...hehehe

Petang ni, nak bergerak balik kampung. kali ni giliran Sungai Petani. Tapi persinggahan wajib kami adalah Rengit, Batu Pahat. Kena pastikan sampai Rengit sebelum waktu berbuka. Kemudian dalam jam 11 malam lebih kurang, kami sekeluarga akan memulakan perjalanan ke SP.

Mungkin dalam tempoh raya ni dalam seminggu jugalah saya takkan mengemaskini blog ini. Oleh itu, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir dan batin kepada sesiapa yang membaca blog ini. Selamat lkembali ke kampung dan pulang semula ke rumah dengan selamat dan sihat. Berhati-hati semasa memandu dan semasa makan.

Wassalam

Azhar Arifin

17 September, 2009

Tahniah Kepada Norlaila Othman

Saya membaca dalam Malaysiakini mengenai pembebasan tahanan ISA. Salah seorang daripada mereka adalah suami kepada rakan semasa menuntut di ITM Terengganu dulu iaitu Norlaila Othman. Saya tahu yang Norlaila begitu bersungguh-sungguh berjuang supaya suami beliau dan tahanan ISA yang lain dibebaskan. Namun, aktiviti beliau hanya saya ikuti melalui laman-laman web sahaja. Bersempena dengan bulan yang mulia ini sudah tentunya berita gembira ini menyejukkan sedikit hati Norlaila dan keluarga yang selama 8 tahun menderita terpisah di antara bapa dan anak dan suami dan isteri. Keluarga adalah sesuatu yang amat bernilai dalam kehidupan kita. Sewajarnya kita menghargai ikatan kekeluargaan ini. Saya amat menyanjung kesabaran dan kesetiaan Norlaila yang tabah hidup sendiri membesarkan anak beliau. Semoga selepas ini, keluarga beliau akan lebih rapat kerana ujian besar seperti ini sudah tentu memberi kesedaran betapa pentingnya orang yang tersayang dalam hidup kita.

Selamat menjalani kehidupan baru kepada Norlaila Othman, suami beliau Mat Shah dan anak tunggal mereka.

15 September, 2009

HARI RAYA MENJELANG TIBA

Beberapa hari lalu saya tidak berkesempatan mengemaskini blog saya ni. Saya ke Shah Alam kerana ada tugasan. Pertamanya menjadi urusetia Pertandingan Catur Bistari peringkat UiTM Shah Alam dan keduanya menjadi Panel Hakim Penilaian Rancangan Perniagaan Terbaik Program Siswa Bistari UiTM Shah Alam. Saya ke sana pada hari Sabtu dan tadi petang sampai ke rumah.

Alhamdulillah, sepanjang 4 hari di sana, ketiga-tiga malam saya mampu berkunjung ke Masjid Biru, Shah Alam untuk qiamullail. Terima kasih kepada Sdr Jamaludin (Ilham Lestari) yang menjadi peneguh semangat untuk saya bangun jam 3 pagi. Bukan mudah untuk bangun seawal itu kerana itu adalah waktu yang paling syok untuk tidur.

Saya nak cerita pasal masjid ni. Saya tidak pasti tentang masjid lain tapi saya tertarik dengan umat islam di Shah Alam yang benar-benar memanfaatkan 10 malam terakhir bulan Ramadan untuk beribadat. Bila saya sampai di masjid, saya terperanjat melihat begitu banyak kereta yang diletakkan di pekarangan masjid. Wah mesti ramai yang berada dalam masjid. Telahan saya memang benar malahan yang menariknya yang datang bukan individu semata-mata tetapi dengan keluarga. Ada yang sedang bersahur ada yang sedang membaca al-quran ada yang sedang solat dan ada juga yang sedang berehat. Kebanyakan mereka berada di dewan bawah masjid yang memang cukup luas. Saya juga meninjau persekitaran masjid dan menyaksikan banyak gerai jualan berada dalam kawasan masjid. Bukan di kawasan lapang tetapi dalam bangunan masjid. masjid ni memang besar. Bila saya ke tandas masjid, saya lihat kebersihan tandas memang cukup baik tetapi tidak lah sampai peringkat tandas di hotel 5 bintang tetapi memang bersih. Ada kemudahan mandi dan bersalin pakaian yang selesa dan banyak. Selepas saya meninjau kemudahan yang ada, saya mencadangkan kepada Sdr Jamaludin supaya kami bermalam di masjid pada malam ketiga dan beliau bersetuju. Bila kita berada dalam lingkungan orang yang bersolat, membaca al-quran kita pun jadi bersemangat dan menjadi berkeinginan untuk turut sama mengimarahkan malam di masjid tersebut. Memang tak rugi saya ke sana.

Insyallah, jika diberi peluang lagi, saya akan berusaha untuk beribadat di masjid ini. Tahniah kepada pengurusan masjid yang berjaya menjadikan masjid Shah Alam sebagai tempat aktiviti masyarakat dan bukan semata-mata tempat solat sahaja. Saya mengharapkan masjid-masjid lain di negara ini dapat belajar daripada kaedah pengurusan masjid ini yang aktif dan kreatif.

11 September, 2009

Cuba Ubah Rupa Blog

Rupa blog saya dah lain hehehehe. Semalam cuba-cuba ubah sikit sana, sikit sini dan dapatlah ubah sebagaimana yang boleh disaksikan bagi sesiapa yang masuk blog ni. Takdelah hebat mana tapi dah kira baik untuk orang yang baru berjinak-jinak seperti saya. Lepas ni nak usahakan supaya blog ni boleh menjana pendapatan pulak hehehe...Bukan nak kaya tapi cukuplah untuk cover duit dapur hehehe.

Saya 'access' blog ni melalui PC di pusat servis toyota di Larkin. Kereta Toyota Unser saya sedang dirawat oleh 'doktor' Toyota. Tak taulah apa sebenarnya masalah. Tengok gaya macam H1N1. Minyak hitam ada bau petrol. Wah macam mana petrol boleh menerobos ke tempat minyak hitam?Janganlah mahal-mahal kena caj. Raya dah tak lama lagi. Rabak poket kerana merawat Unser ni. tapi terpaksalah jugak. Kalau tak dirawat sekarang, dia jatuh sakit di tengah Lebuh raya utara selatan, apa cerita?. Dugaan bulan puasa......

Petang ni saya kena ambil Aliff (satu-satunya anak lelaki) dari asrama. Esok, Sabtu jam 2 petang saya akan ke Shah Alam kerana terbabit dengan Program Siswa Bistari di UiTM Shah Alam pada Ahad dan Isnin. Hari Selasa ada urusan di Bahagian Pengambilan, SPA, Putrajaya.

Jadi selepas ni mungkin boleh kemaskini blog ni hari Rabu......hari Rabu ada latihan Catur Bistari. Nak masuk Pertandingan Catur Bistari peringkat kebangsaan dalam bulan 11 nanti.

Nak cerita sikit pasal pusat servis toyota ni. Nak cerita kemudahan yang disediakan sementara menunggu kenderaan diservis. Tempat menunggunya sangat luas, ada kemudahan suratkhabar, ada 2 komputer yang boleh access internet boleh digunakan oleh sesiapapun percuma, ada kafe tapi tak taulah free ke kena bayar...malas nak tanya bulan puasa hehehe.

Lain kali bolehlah servis Unser di sini sebab selesa sangat. Layananpun bagus....promote jangan tak promote.....   

10 September, 2009

Masa nilah kereta meragam

Hari Sabtu lepas, Toyota Unser saya rosak di Giant Pelentong. Masa pergi tak ada masalah, bila nak balik tak mau hidup. Saya pun panggil mekanik yang biasa saya hantar kereta untuk servis. Dapat dihidupkan tapi kena bawa ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut sebab enjinnya macam lari 'tuning'nya. Petang tu, tak siap. Kena tunggu hari Ahad. hari Ahad pun tak siap. Hari Isnin pun tak siap. Hari selasa, bengkel tutup pulak. Tadi, bila pergi ke bengkel, mekanik tu menyerah kalah dan mengatakan kereta ni kena hantar pusat servis Toyota. Aduhai...kena periksa menggunakan komputer. Toyota ni pulak kena buat temujanji. Hari Khamis dah penuh, dapat temujanji hari Jumaat. Aiyoyo...janganlah kena mahal-mahal. Raya dah dekat dan kali ni nak balik Kedah pulak Inilah dugaan Tuhan. Kena sabar. Lebih baik rosak sekarang daripada rosak di tengah lebuhraya. Kalau di tengah lebuhraya, jawabnya beraya di lebuhrayalah sebab saya akan balik ke Kedah pada 18hb malam dan raya dijangka pada 20hb. Kena fikir positif, inilah caranya Allah swt nak tolong saya dan keluarga. jadi hari Jumaat ni kena ke Pusat Servis Toyota di Larkin.


Jadi kepada semua yang ada kenderaan, jangan biarkan kenderaan rosak di lebuhraya atau di jalanraya, baik periksa kenderaan sekarang. Biar kita beraya nanti dengan penuh ketenangan dan kegembiraan.

08 September, 2009

Lailatul Qadar Sudah Datang????!!!!!

Terima kasih Teddy Reezwan kerana sudi menjengah blog saya. UiTM mengingatkan saya kepada zaman ITM Terengganu sekitar tahun 82-85. Lamanya....kira zaman batulah tu. Dah 24 tahun berlalu.....wahhhhh tua dah saya....Kali ni saya teringat nak cerita pasal lailatul Qadar. Kena petik dari pakar. Ini bukan tulisan asal saya tapi petikan daripada beberapa laman web......


Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!". (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat. juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan. Bacaan lanjut di www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=208
BANYAK amalan salih dilakukan pada Ramadan dengan harapan mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah. Bagi setiap amalan dilakukan kita hendaklah berdoa supaya diterima Allah.

Sesungguhnya berdoa adalah satu tugas agama yang penting kedudukan dan mahal nilainya. Ia adalah pintu ibadah dalam memperhambakan diri kepada Allah dan memperlihatkan kerendahan jiwa kepada-Nya.

Ini jelas melalui sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Doa itu adalah otaknya ibadat." (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari).

Pengabdian atau ibadat yang dikerjakan tanpa berdoa adalah tidak berjiwa, hidup dan bergerak. Ini laksana tubuh yang tidak bernyawa – ada badan tetapi tidak dapat bergerak ke mana-mana.

Amalan berdoa digalakkan sepanjang masa, lebih-lebih lagi pada Ramadan, terutama pada Lailatul Qadar. Ia adalah malam paling mustajab berdoa, khususnya pada masa berlalu separuh malam dan ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.

Sepanjang Lailatul Qadar adalah saat doa yang dimakbulkan. Maka perbanyakkan doa pada malam itu.

Dalam satu hadis, Aisyah berkata: "Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu jika aku tahu Lailatul Qadar itu, apakah akan aku bacakan dalamnya?

Jawab Baginda: "Bacalah
"Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fuanni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini)." (Hadis riwayat al-Khamsah).

Ulama tasauf yang juga ulama fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata: "Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doa kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab."

Secara jelas dapat diperhatikan bahawa Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah.

Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doa dikabulkan Allah.

Tuhan selalu membuka pintu untuk hamba-Nya mengadu, memohon dan berdoa kepada-Nya. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Firman Allah lagi bermaksud: "Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Nya, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dengan hina." (Surah al-Mukmin, ayat 60).

Kehebatan Malam Al-Qadr

Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;

Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )

2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)

Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang, rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan

قال بن عباس يحكم الله أمر الدنيا إلى قابل في ليلة القدر ما كان من حياة أو موت أو رزق

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?

Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.

Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.

Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-

وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر

Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya laylatul Qadr ( selian bulan Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).

Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.

Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;

Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)

Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan. Tulisan di atas adalah petikan dari laman web http://www.zaharuddin.net/content/view/604/90/








06 September, 2009

Bulan Ramadan Bulan Bersedekah

Terima kasih kepada Naz yang sudi menjengah blog ini.

Alhamdulillah petang tadi saya dapat turut sama di Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Darul Hanan di Persada, Johor. Terima kasih kepada Cik Razana dari Hotel Puteri Pacific JB yang sudi menjemput saya untuk menjadi Pengacara Majlis.
Darul Hanan merupakan sebuah rumah anak yatim dn miskin yang terletak di Pasir Gudang. Sekarang ini terdapat 55 orang anak yang ditempatkan di situ. Mereka ini dari mata kasarnya memang beruntung kerana dari segi kebajikan memang tidak terabai. Rumah ini diusahakan oleh Johor Corporation melalui Mutiara Johor Corporation. Pengerusi rumah ini adalah Puan Sri Norzilah Mohd Ali, isteri Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Pada majlis tersebut, kedua-dua mereka turut hadir menyerikan suasana. Aturcara majlis bermula jam 5.30 petang. Pada majlis tersebut juga, Hotel Puteri Pacific JB dan Persada Johor telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM5000 kepada rumah tersebut. Selepas berbuka dan solat maghrib, semua tetamu telah diraikan dengan jamuan yang sungguh lazat. Kemudiannya semua tetamu solat jemaah isya dan solat terawih. Selepas solat, semua anak-anak ini telah diberikan sumbangan hari raya oleh pihak hotel. Mereka ini sudah tentunya gembira dengan bantuan yang diberikan. Semoga lebih banyak pihak akan terus membantu mana-mana rumah orang tua atau anak yatim dan miskin sebagai tanda keinsafan bahawa bukan semua orang senasib dengan kita yang bernasib baik ini.
Amalan bersedekah ini perlu diteruskan supaya mereka yang kurang bernasib baik dibela sewajarnya kerana mereka juga sudah tentu tidak mengharapkan nasib begitu. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. lagipun apabila matinya seseorang anak adam itu, yang dibawa bersama adalah 3 perkara iaitu anak yang soleh, ilmu baik yang diamalkan dan sedekah jariah.
Tidak guna kita kaya raya tetapi ada di kalangan saudara Islam kita yang menderita.

05 September, 2009

Orang Gaji ke Orang Ngaji ke Nak kena gergaji?

Terima kasih Mama Alisya yang sudi menjadi follower blog saya.

Gelak besar saya baca berita pasal Indonesia minta gaji minimum orang gaji RM800 sebulan. Ada orang di Malaysia yang pendapatannya RM500 sebulan dan tanggung 7 anak. Kalau minah Indon gaji RM300 sebulan pun saya tak nak bagi. Sebenarnya saya ni memang tak pernah ada orang gaji. Dari anak satu sampai anak empat, memang tak pernah ada orang gaji. Kalau takde orang gaji memang rumah tunggang-langgang, maklumlah kami berdua bekerja. isteri saya pun beruntung dapat suami yang tak kisah rumah macamana. Sebab utama adalah sayapun malas nak kemas dan diapun penat. Jadi jangan banyak songel sangat. Jangan sampai bau rumah macam minah Indon baru turn bot sudahlah. hahaha......

Saya pernah cuba ambil orang gaji. Dah bayarpun depositnya tapi saya buat keputusan batalkan sebabnya? Saya tak mau hilang privasi. Saya suka pakai seluar pendek atau berlenggeng dalam rumah. kalau ada yang bukan keluarga saya tak selesa nanti. jadi, saya tak mau korbankan privasi saya. lagipun, duit gaji orang gaji tu boleh saya gunakan untuk bawa anak isteri makan pizza hut ke kfc ke (Tan Sri Ali saya tolong kempen makan pizza hut dan kfc ke) lagi berbaloi. Makanlah sampai perut buncit dan tak boleh jalan.

Saya bukan anti Indonesia tapi agak-agak patutlah nak tuntut gaji tu. Di Malaysia pun takde satu kerja yang dah ditetapkan gaji minimum. Jadi saya minta sangatlah sedarlah diri sikit dan buat tuntutan yang berpada-pada. Orang Malaysia pulak, jangan terlalu bergantung pada orang gaji. Nak kemas rumah? Kan ada syarikat pembersihan rumah yang boleh datang seminggu sekali atau upah jiran2 yang takde kerja tu untuk bersihkan rumah ke, lipat bajuke, sidai kain dsbnya. Saya berani cakap sebab saya tak pernah ada orang gaji dan dah buat benda ni.

Lagipun, janganlah asyik rumah nak cantik 24 jam....bukan 24 jam orang datang rumah kita. Kita kena lihat masalah itu ditukar menjadi peluang. Inilah masanya bagi yang berjiwa keusahawanan untuk menggunakan peluang ini sebaik2nya. Mulalah buka minda untuk menyediakan perkhidmatan membersih rumah, menjaga anak, melipat baju, pergi ke pasar/kedai. Banyak peluang bisnes tu.

Kita usahakan supaya dikurangkan dan kalau boleh tak perlu lagi bergantungan kepada orang gaji Indon ni. Kita bagi mereka pesanan jangan ingat kita ni hadap sangat dengan perkhidmatan orang gaaji yang belum tentu kelasnya tu. Kadang-kadang buat perangai tak senonoh, mencuri barang majikan, buat maksiat masa majikan takde..... Ni kes orang gaji yang tak ngaji dan perlu kena gergaji.......

04 September, 2009

Nak Raya di mana? Rumah mak ke rumah mak mertua?

Hari ini hari ke 14 kita berpuasa. Sekejap sangat rasanya masa berlalu. Waktu saya kecil dulu, terasa lama benar hari-hari puasa berlalu. Kenangan waktu berpuasa dulu-dulu kadang-kadang datang juga. Teringat main bola di bulan puasa, mandi sambil telan air waktu tengahari, baring atas lantai simen dengan berseluar pendek kerana kepanasan dan keletihan, menunggang motosikal menghantar juadah berbuka ke rumah atuk di waktu petang sambil menikmati pemandangan kampung yang sungguh damai dengan serba kehijauan, bersembahyang terawih dengan cahaya pelita di surau kerana elektrik belum ada, terpaksa makan asing sebab tak puasa, perasaan malas bangun sahur kerana mengantuk teramat sangat dan banyak lagi. Semua ini kenangan indah yang pastinya tidak dapat dilupakan. Dulu rasa terseksa bila berpuasa. Sekarang puasa sudah sebati dan tidak menjadi masalah langsung. Dulu kalau ada peluang makan, mesti makan. Sekarang, kena ingat bukan budak-budak lagi. Sebab itu, bila lihat anak-anak yang mampu berpuasa tanpa paksaan terasa mereka jauh lebih hebat daripada saya.

Raya pun dah makin mendekati. Tahun ni saya akan beraya di Sungai Petani Kedah. Alhamdulillah, saya dan isteri tidak pernah menghadapi masalah nak beraya di mana sebabnya mudah. Tolak-ansur dan saling memahami. Kalau masing-masing berdegil nak beraya di kampung masing-masing memang susah. Saya dan isteri sejak tahun 1991 iaitu raya pertama sebagai suami isteri telah bersetuju secara senyap yang kami akan mengikut giliran. Bagaimana giliran pertama ditentukan? Mudah sahaja. Sebagai suami, saya kena jadi contoh dan berkorban walaupun saya boleh sahaja menggunakan kuasa veto. Saya telah bersetuju supaya raya pada 1991 di Sungai Petani, Kedah. Adakah saya hilang kejantanan kerana perkara ini? Lihatlah di sebalik keputusan ini. Walaupun saya terpaksa beraya di SP, tapi itu cuma untuk 4 atau 5 hari sahaja. Hari raya ke 6 tetap dapat beraya di Rengit. Kenapa? Sebabnya saya bertugas di Johor Corporation dan sudah tentu bertugas di Johor. Jadi apa isunya? Saya hanya mengganggapkan yang saya bercuti (Cuti-Cuti Malaysia hehehe). Lagipun, bila tiba giliran raya di Rengit, sangat sukar untuk beraya di Kedah. Kami hanya balik ke SP pada cuti sekolah hujung tahun jika beraya di Rengit. Jadi siapa lebih beruntung? Ini bukan soal untung rugi sebenarnya. Saya tak kisahpun sebab bagi saya yang penting adalah keharmonian suami isteri. Malahan pada 1992 yang sepatutnya giliran raya di Rengit, saya tetap beraya di SP. Sebabnya sebelum raya tahun 1992, mak mertua saya meninggal dunia. Jadi saya bersetuju untuk menangguhkan giliran Rengit supaya isteri saya rasa gembira. Kalau dia tak gembira, saya tak seronok. Kita nak orang yang disayangi gembirakan?
Sekarang pun sebenarnya balik beraya di SP sudah kurang meriah sebab kedua-dua mak dan bapak mertua dah meninggal dunia. Rumah tu pun dah kosong tetapi masih dijengah juga oleh abang ipar yang juga menetap di SP tetapi tidak tinggal di rumah tu. Tetapi amalan balik beraya tetap diteruskan sebab kalau tak berkumpul adik-beradik waktu raya, memang susah nak bertemu. Ikatan kekeluargaan mesti dieratkan. Tidak cukup setakat telefon, email, blog. Mesti kena jumpa secara fizikal. Barulah ada 'feel'............

03 September, 2009

Dunia Blog dan Followers

Terima kasih kepada JASA yang baru menjadi follower aka pengikut blog saya. Tujuan blog diwujudkan adalah untuk menjadi tempat mencurahkan isi hati, idea dan apa-apa sahaja yang ingin dikongsi bersama. Saya sebagai orang baru dalam dunia blog ini (dari segi usia taklah berapa baru), sudah tentu akan mengisi ruangan blog saya dengan perkara yang boleh membawa manfaat kepada sesiapa yang membaca. Mungkin apa yang dicatatkan pendek sahaja tetapi memang tak semua boleh dicatatkan seperti kata orang tiada kata secantik lukisan. Kalau kata2 pun dah susah nak menggambarkan sesuatu apatah lagi tulisan.


Paparan di blog saya adalah mengenai serba-sedikit kehidupan harian saya, pemerhatian harian saya, pengalaman kehidupan saya dan analisis peribadi saya mengenai apa yang berlaku di negara ini khususnya. Saya memang menggunakan nama sebenar saya dan di negara ini saya rasa tidak ramai yang mempunyai nama Azhar Arifin. Kalau nama Azhar tu memang ramai. Jadi sekiranya apa yang saya tulis menyentuh peribadi sesiapa saya terlebih dahulu memohon maaf.

Blog saya ini sangat 'simple' sesuai dengan kemampuan dan kerajinan saya yang tidak suka pening kepala mencuba yang baru yang disediakan oleh blog dan sekutu-sekutunya. Jadi paparan blog saya mungkin primitif bagi 'standard' setengah orang tapi yang penting adalah penyampaian. Saya juga sejauh yang boleh mengelakkan mengeja menggunakan kependekan sebab saya memang tidak minat dengan kependekan sebab saya pun golongan yang tidak berapa tinggi. Jadi kalau semuanya dah pendek, apa yang boleh ditinggikan?

Ayat dan perkataan yang saya gunakan akan mencerminkan yang saya ni seusia dengan Wan Zaleha Radzi hehehe tetapi saya menegaskan yang saya lebih kurang umur berbanding Mahadir Lokman. Sudah tentu Aznil juga lebih usianya dari saya. Tetapi saya juga menegaskan bahawa saya lebih umur daripada Zamzarina. Berteka-teki pulak.

Hari ini saya akan meneruskan latihan Catur Bistari. Kelmarin, saya telah mempelajari cara permainannya dan sudah menikmati permainan tersebut. Catur Bistari ni memang berbeza daripada monopoli. Ia lebih dekat dengan cara kehidupan seorang yang berjiwa usahawan. Kalau tak berjiwa usahawanpun, boleh disemaikan jiwa usahawan apabila mula bermain. Mula-mula main rasa macam susah tapi bila dah dapat 'feel' memang tak nak berhenti.

Johor Corporation kini sedang memperkenalkan permainan keusahawanan ini dan akan menyebarkannya ke setiap lapisan masyarakat di negara ini. Sekarang ni kebanyakan pelajar sekolah di negeri Johor sudah tahu tentang Catur Bistari sebagaimana mereka mengetahui tentang Tunas dan Didik Bistari. Tunas Bistari dan Didik Bistari adalah dua program penyemaian budaya keusahawanan di kalangan pelajar sekolah. Tunas Bistari untuk pelajar sekolah menengah. Didik Bistari pula untuk pelajar sekolah rendah. Mereka dididik berniaga. Program ini adalah idea Johor Corporation dan disokong oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor sejak 1992.

Selain itu, ada juga Siswa Bistari di mana pelajar IPTA didedahkan dengan keusahawanan juga. Siswa Bistari juga anjuran Johor Corporation dengan sokongan UiTM. Setakat ini UiTM Segamat, Johor dan UiTM Shah Alam telah terbabit dengan program ini.

Kenapa Bistari? Kenapa tidak Bestari? Bistari sebenarnya adalah kependekan daripada Bisnes dan Industri. Bestari pula, semaklah dalam kamus Dewan.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Catur Bistari bolehlah ke laman web www.caturbistari.com.my


wassalam

02 September, 2009

Catur Bistari

Catur Bistari? Ya...Catur Bistari! Hari ni saya nak belajar main Catur Bistari. Kenapa? Sebab akan ada pertandingan dalam bulan 10 ni. Catur Bistari adalah permainan keusahawanan yang diperkenalkan oleh Johor Corporation dan sedang mula dipopularkan untuk semua usahawan. Ia melatih kita dalam bentuk simulasi keusahawanan di mana permainan ini bermula dengan Laluan Makan Gaji. Sampai satu tahap pemain boleh beralih ke Laluan Tijarah dan tahap tertinggi adalah Laluan Jihad Bisnes. Permainan ni memang menarik. Tahun lepas dah dibuatpun pertandingan peringkat kebangsaan yang pertama di JB.

01 September, 2009

Dulu Lain, Sekarang Lain, Akan Datang Pasti Lain

Dulu masa saya kecil sekitar pertengahan 60 an dan di sepanjang 70 an, saya membesar di Rengit, sebuah pekan dalam daerah Batu Pahat Johor. Masa tu, kemudahan infrastruktur atau disebut juga prasarana masih kurang. Paip air ada tapi tekanan air amat rendah. Itupun tak semua kawasan di Rengit terutamanya yang di pendalaman mendapat bekalan air paip. Bagi yang rumahnya ada air paip pun sebenarnya lebih baik tak ada sebab airnya keluar halus dan tak kuat. Saya masih ingat terpaksa pergi ke rumah atuk saya di Parit Besar, Sri Ladang untuk mengambil air kolam atau mengambil air di mana-mana anak sungai yang bersih. Waktu itu, air sungai masih bersih dan sejuk sekali. Tapi sekarang sungai2 banyak yang dah dipenuhi rumput dan airnya pun macam air longkang, bau getah atau kelapa sawit. jangan cuba2 menggunakan air sungai sekarang. Bekalan elektrik juga waktu tu menggunakan bekalan daripada generator seorang taukeh Cina di Rengit. Bekalan elektrik cuma sebelah malam. Waktu siang takde elektrik.....Itupun ada juga yang buat penyambungan haram...TV memang takdelah. Kalau nak menonton tv kena pergi kedai kopi hailam. Saya pula pergi ke rumah atuk. Rumah dia ada tv. masa tu, setiap Jumaat malam sabtu ada tayangan filem di tv. jadi, tiap2 jumaat malam sabtu kami sekeluarga pergi rumah atuk berjalan kaki untuk menonton tv. Esok pagi2 balik rumah.


Kadang-kadang, bapa saya membawa saya ke kedai kopi cina untuk menonton gusti. Pergi jalan kaki dan balik saya dokong di belakang beliau.

Waktu tu, siapa ada motosikal dah kira golongan ada duit. Kalau ada kereta kira orang kaya. Kalau ada basikal pun dah kira bukan orang miskin. Saya pergi sekolah naik beca dari darjah 1 sampai darjah 3. Naik beca Atuk Amat. Darjah 4, bapa saya belikan sebuah basikal kecil tapi yang kelakarnya tayar basikal tu tayar sambung sebab takde saiz tayar. maka di sepanjang darjah 4 dan 5 saya ke sekolah naik basikal tayar sambung. bayangkan betapa tak selesanya tapi saya tetap naik....sebab itu adalah basikal pertama saya. Sungguh gembira dapat basikal.

Waktu tu pergi sekolah samada jalan kaki atau naik basikal masih selamat sebab kenderaan tak banyak. Mak bapak tak risau langsung keselamatan anak2 di jalanraya.

Apa yang saya ceritakan adalah sebahagian kecil kehidupan tahun2 saya membesar di Rengit. Sekarang ni, semuanya dah takde. Air paip sudah dinikmati oleh semua walaupun penduduk pendalaman dan tekanan airpun makin bagus. Bekalan elektrik juga sudah dinikmati oleh semua. Tapi hasil peredaran masa, mak bapak tak berani melepaskan anak2 ke sekolah naik basikal lagi. Kereta makin banyak.

Bapak saya tak pernah memiliki kereta tapi anak2nya ada 9 orang dan setiap orang ada kereta sendiri. Bayangkan kalau semua orang di Rengit begitu. Sudah tentu banyak keretanya. Sekarang ni, memiliki kereta bukan lagi sesuatu yang mewah. Hampir semua orang mampu membeli kereta tak kiralah kereta murah atau mahal.

Adakah kehidupan kita makin bertambah baik? Atau makin tertekan?